[...] "Saya ada satu cadangan." Dia mendekatkan diri ke hadapan seperti yang selalu dilakukan oleh rakan saya, April, ketika hendak berkongsi rahsia, walaupun rahsianya tidak pernah sesuatu yang baik mahupun benar-benar rahsia. "Kalau awak tidak mendedahkan bahawa saya berada di sini, saya boleh memulihkan penglihatan awak."
"Keluar dari bandar!"
Berkelip-kelip matanya beberapa kali. "Itulah yang cuba saya lakukan."
"Maksud saya, awak tidak mungkin melakukannya!"
"Kenapa tidak?"
"Tiada sesiapa yang mampu memulihkan penglihatan saya, kecuali dengan cermin mata."
"Saya ada kebolehan istimewa. Awak akan tahu nanti, asalkan…"
"…saya tidak memberitahu sesiapa tentang awak?"
"Betul sekali, itulah maksudnya."
"Bagaimana saya tahu awak tidak akan membutakan saya? Awak mungkin hanya menawarkan macam-macam janji seperti telepemasaran tetapi sebenarnya berbohong."
Sekali lagi, tergerak tangannya ke kanan dan ke kiri. "Saya tidak akan berbuat demikian kepada makhluk yang tidak menyakiti saya."
"Maksud awak, kalau saya menyakiti awak, awak boleh membuat saya buta?"
"Perkara itu hanya patut diketahui apabila perlu."
"Jadi, kalau awak memulihkan penglihatan saya dan saya tidak memberitahu sesiapa tentang awak, awak akan meninggalkan ladang kami?"
"Betul sekali!" [...]