[...] "Saya ada cadangan." Ia membongkokkan badannya, sebagaimana yang dilakukan April, kawanku ketika dia mahu memberitahukan sesuatu rahsia, walaupun tidak ada satu pun rahsianya yang bagus. Bahkan, bukanlah rahsia sangat sebenarnya. "Saya boleh rawat mata kamu, kalau kamu tak beritahu sesiapa yang saya ada di sini."
"Biar betul?"
Ia mengelipkan matanya beberapa kali. "Itulah yang saya nak cuba lakukan."
"Maksud saya, mana boleh kamu rawat mata saya!"
"Kenapa tak boleh?"
"Yalah, tak ada orang lain yang mampu merawat mata saya, kecuali dengan cermin mata."
"Saya ada kebolehan tertentu. Nanti kamu lihat, dengan syarat..."
"... Saya tak beritahu orang lain tentang kamu?" "Itulah maksudnya, begitulah isunya."
"Macam mana saya nak tahu, yang kamu tak akan butakan mata saya? Boleh jadi, kamu ni macam pegawai telepemasaran yang kata tidak dipegangnya, janji tidak ditepatinya."
Sekali lagi, ia mula menggerak-gerakkan tangannya. "Saya tak akan buat begitu pada makhluk yang tidak membahayakan saya."
"Maksudnya, kalau saya membahayakan kamu, kamu akan jadikan saya buta?"
"Itu, tengok keadaan."
"Dan, kalau kamu rawat mata saya, dan saya tak beritahu sesiapa tentang kamu, kamu akan tinggalkan ladang kami?"
" Itulah maksudnya!" [...]